AHLI KUMPULAN

AHLI KUMPULAN
JABATAN

Monday, 25 January 2016

Pengenalan Kemerdekaan

PENGENALAN KEMERDEKAAN

TANGGAL 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai tarikh penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. Namun, slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai kemerdekaan yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka. Ia merupakan penghayatan dan pemahaman maksud serta kepentingan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenar. Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah semata-mata, malah kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang mahu melihat berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Kemerdekaan telah mengangkat maruah dan kedaulatan negara. Ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijual beli. Rakyat Malaysia yang cintakan negara wajar memelihara nama baik negara di mana sahaja mereka berada. Dari sudut keselamatan, maruah dan kedaulatan negara bukan sahaja dipikul oleh anggota keselamatan tetapi turut dipikul bersama oleh seluruh rakyat.
Kemerdekaan ini bukanlah takdir semata-mata tetapi adalah hasil usaha pejuang dan pemimpin terdahulu. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, marilah kita bersama-sama menjaga maruah serta kedaulatan negara. Sematkan juga di dalam diri semangat cintakan negara serta sentiasa menjaga dan menjulang nama baik Malaysia walau di mana kita berada.