Menjelang 30 Ogos, sekitar jalan-jalan bandar Kuala Lumpur dipenuhi dengan pelbagai jenis kenderaan dan orang ramai berpusu-pusu menuju ke Padang Kelab Selangor. Suasana malam penuh meriah diterangi lampu-lampu hiasan di jalan-jalan dan bangunan sekeliling.
Di tengah-tengah padang terdapat tiga tiang bendera yang mengibarkan bendera UMNO di sebelah kanan, bendera Union Jack di tengah dan bendera Perikatan di sebelah kiri.
Detik 10 malam, wakil-wakil yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC dari negeri-negeri Tanah Melayu dan Singapura mengambil tempat di sekeliling tiga bahagian padang. Diikuti dengan pembentukan 300 Pemuda Perikatan mengambil tempat di tengah-tengah padang mengadap menara jam.
Tunku Abdul Rahman diiringi masuk pada pukul 11.55 malam bersama 30 ahli-ahli Perikatan bermotorsikal dengan pengiring polis. Tunku disambut oleh Dato’ Abdul Razak Hussein, Encik Saadon Jubir, Tan Cheng Lock dan V.T. Sambantan. Tunku kemudiannya dibawa ke atas pentas mengadap ke tiga-tiga tiang bendera.
Pukul 11.58 semua lampu di padang dan di sekeliling dipadamkan sehingga seluruh kawasan menjadi gelap gelita. Detik 12 tengah malam lampu dipasangkan apabila jam besar berbunyi menandakan bermulanya era Tanah Melayu yang merdeka. Ini diikuti pula dengan laungan ”Merdeka” oleh orang ramai yang menggegarkan seluruh padang secara spontan.
Bendera Union Jack mula diturunkan dengan diiringi lagu God Save The Queen yang dimainkan buat kali terakhir sebagai menandakan berakhirnya pentadbiran Britih di Tanah Melayu.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan Negaraku yang diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum. Setelah bendera berada di puncak tiang, sorakan ”Merdeka” telah dilaungkan oleh Tunku sebanyak tujuh kali.
Actually it’s Hamzah Alang who raise the Persekutuan Malaya flag not Tahir Majid as Tahir Majid assisted him.
ReplyDelete