PERSIAPAN DELEGASI MERDEKA KE LONDON
Untuk merundingakan kemerdekaan dengan British di London bukanlah semudah sekarang, kerana perbelanjaan untuk menaiki kapal laut dan kapal terbang ketika itu memerlukan kos yang tinggi.
Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku dalam Persidangan Umno di Dewan Hang Tuah Bandar Hilir, Melaka sekitar tahun 1955. Ketika itu Tunku berucap yang beliau akan berangkat ke London bersama Raja-raja Melayu.
Dengan loghat Kedah, Tunku berkata,”Saya ni nak pi London. UMNO tak dak duit, saya pun tak dak duit. Saya jual istana ayahanda duk murka. Ayahanda suruh saya jadi raja, saya tak mau, saya nak jadi Presiden UMNO, bagi Malaya merdeka”.
Orang menangis bergenang air mata, tapi Tunku menangis air mata bercucuran membasahi pipinya. Lantas para serikandi UMNO dengan segera menyahut seruan Tunku dengan menyerahkan apa jua barangan kemas yang ada di badan seperti gelang, loket, subang, pin baju dan sebagainya untuk didermakan bagi membiayaai pemergian Tunku dan rombongan. Manakala yang lelakinya pula menyerahkan tongkat berkepala emas, jam tangan dan lain-lain barang berharga.
Walaupun ianya tidak mencukupi tetapi semangat orang-orang Melayu begitu tinggi untuk bersama berkorban apa saja bagi mencapai hasrat kemerdekaan Tanah Melayu.
Pada 1hb Januari 1956, Tunku dan rombongan kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan dengan kapal laut MV Asia dari Singapura. Dari Karachi, mereka meneruskan penerbangan ke Kaherah seterusnya ke London.
No comments:
Post a Comment