PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN DI STADIUM MERDEKA KUALA LUMPUR
Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan secara rasmi tepat jam 9.30 pagi pada 31hb Ogos 1957. Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan ini berlangsung di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota-anggota kabinet kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.
Pada upacara bersejarah itu wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester menyerahkan Watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang menandakan berakhirnya naungan British ke atas Tanah Melayu.
Perisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibaca oleh Tunku dan selepas itu laungan ”MERDEKA” sebanyak tujuh kali. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan sebuah negara Islam dengan agama rasminya telah dilahirkan. Diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi lagu kebangsaan ”Negaraku”. Sebanyak seratus satu das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.
Begitulah detik-detik sejarah kemerdekaan Tanah Melayu yang penuh dengan liku-liku dan ranjau yang telah dilalui oleh datuk nenek kita dahulu. Sebagai generasi penyambung kemerdekaan, kita hari ini sesungguhnya telah mewarisi kemakmuran yang telah dicipta oleh mereka.
No comments:
Post a Comment